Salam,
Cuti Hari Raya Cina akan bermula tak lama lagi. Untuk perjalanan kali ini, sama seperti tahun lepas kami ke sempadan Thailand kerana rancangan ke Batam tertunda akibat kos yang agak tinggi.
Mula bergerak seawal 1.30 pagi selepas menghadiri tahlil menyambut Ramadan di Setapak, saya dan keluarga bergerak ke utara melalui laluan Lebuhraya Utara Selatan atau PLUS. Kami tiba di tempat yang sama tahun lepas iaitu di kaunter membuat TM2 dan TM3 selain membeli insurans untuk endorsement 101 dan pihak yang terlibat sekiranya ada kemalangan dengan kenderaan yang dilanggar. Saya terpaksa membeli di sini kerana cukai kereta di beli melalui Bjak dan dari sini memilih RHB insuran untuk setahun. Masalahnya jika berurusan terus RHB insuran boleh dapat terus membeli endorsement 101 tapi melalui Bjak perlu 3-5 hari kelulusan. Walaupun hal ini kecil tapi bila akan berlaku kemalangan maka kerugian membayar mungkin cecah RM10,000 dan ke atas. Perlu diingatkan bila membawa kereta terutama ke Thailand , kita perlu ada 5 insurans selain endorsement 101 tadi iaitu 1. Compulsary Insurance iaitu untuk insuran diri sendiri dan keluarga atau perseorangan 2. Voluntary Insurance iaitu perlindungan pihak ke 3 atau yang dilanggar 3. Travel Insurance iaitu yang memerlukan tunai dan surat guarantee untuk rawatan di hospital Thailand dan jika mengatasi had, syarikat yang bertanggungjawab akan membawa pulang ke Malaysia dan sambung rawatan 4. Towing Insurance iaitu tunda kereta di mana ada yang percuma tapi jika tiada maka harus bayar dan jika termasuk insuran ini maka boleh guna tanpa bayaran dan 5. Endorsement 101 seperti yang sudah diterangkan di atas.
Hari pertama kami lewat sedikit tiba pada pukul 9 pagi , saya berbaris ke kaunter di Malaysia macam biasa cuma kali ini passport saya ada sekatan dan saya terlupa untuk semak di laman website SSPI atau imegresen. Jadi saya berhenti di tepi dan pergi ke pejabat sementara yang lain semakan status tiada halangan. Rupanya ada status senarai hitam dari LHDN. Jadi untuk meneruskan perjalanan perlu membayar 20 peratus jumlah yang di beritahu dan saya terpaksa menjelaskan demi sebuah perjalanan bersama anak-anak yang sudah di rancang.
Sebelum selesai atau selama 15 minit cuba menyelesaikan masalah ini, kereta-kereta yang berbaris tadi yang di lihat kurang tiba-tiba penuh dan tidak bergerak.
Selesai status bertukar tiada halangan untuk sementara waktu, kereta kami beratur semula. Di kiri penuh lori dan kanan ada kereta dan di depan ada satu lorong sahaja sebelum berpecah ke kaunter sebelah Thailand. Ada beberapa perubahan di sini tapi saya tak perasan awalnya iaitu untuk cop passport tidak perlu keluar kereta bagi penumpang dan untuk mendapatkan borang isytihar kastam kini ada nombor giliran dan bercampur dengan lori, kereta dan motorsikal. Proses menunggu giliran agak lama manakala 1-2 masalah lain timbul. Sudah selesai urusan kereta di kaunter Thailand, proses seterusnya adalah perlu ke kaunter kastam untuk mendapatkan borang isytihar kastam. Di sini Zulaikha yang turun bersama lain memberitahu mereka tiada cop dari Malaysia dan untuk tadi saya sudah cop bila sebaik sahaja selesai urusan dengan LHDN. Maka mereka terpaksa berjalan kaki ke kaunter Malaysia dalam 2 kilometer manakala tempat letak kereta penuh untuk dapatkan ke kaunter kastam jadi saya terpaksa keluar ke Danok dan letak kereta agak jauh dan kami semua terpisah.
kecoh la di sempadan
Selesai letak kereta saya mencari jalan keluar tadi sambil membeli Simkard. Bila berbual dengan penjual katanya lorong depan kedai dia boleh sampai tempat tadi dan saya lalu tapi salah lorong walaupun ada jalan. Saya keluar bila menghampiri laluan ada pagar sempadan Thailand dan menemui jalan masuk. Saya mengambil nombor giliran tapi jauh lagi dan ramai sangat orang. Manakala anak-anak baru tiba di kaunter Malaysia. Setelah selesai cop dan mereka akan bergerak semula ke kaunter Thailand. Kali ini baru saya berjumpa mereka. Katanya ada cubaan untuk mengepau mereka tapi mereka jalan kaki juga walaupun penat. Mereka selesai cop passport Thailand dan pergi cari makanan manakala saya masih menunggu giliran. Urusan di kaunter selesai sehingga ke pukul 2 lebih atau separuh hari kami habis masa di sempadan sahaja.
bilik penginapan seperti dorm ... ada 12 orang boleh tidur cuma tilam keras
Selesai urusan dan makan, kami ke Hatyai dan singgah di Erawadee membeli ubatan. Saya tersilap di sini bila 30 peratus duit yang ditukarkan sudah dibelanjakan di sini namun kad debit sudah diaktifkan di KPJ Bukit Mertajam. Kami terus ke penginapan Lumpum di Patalung untuk bermalam dalam perjalanan selama 90 minit lagi.
Bila sampai di bilik menginap, semua sudah kepenatan. Malam dalam pukul 9 baru saya keluar dengan Akmal untuk beli makanan kerana kedai tutup dan yang ada beli roti canai sahaja manakala 7 Eleven tiada makanan halal.
Pada hari ke 2, sepatutnya awal pagi 5.30 sudah bergerak ke Tasik Thale Noi untuk naik bot tapi terlewat. Kami bergerak keluar dalam 7.30 pagi untuk sewa bot di lokasi seperti yang diberitahu oleh penjaga di kaunter semalam yang menunjukkannya dalam telepon. Rupanya sudah terkena lagi kerana bila sampai bukan kawasan naik bot. Selepas agak terlajak sehingga melepasi jambatan, kami patah balik dan tiba tempat tengok burung atau tempat sebenar naik bot. Kami bergerak tepat pukul 9 pagi selama 2 jam dengan kadar bayaran 830 Baht termasuk letak kereta. Percutian kali ini berbeza kerana kali ini naik bot di tasik.
menuju menyusuri tasik
pokok seketul
kerbau melintas
ada bunga teratai warna pink dan putih
kerbau berenang dan hanya kepala timbul
Bagi isteri yang duduk di belakang sekali dengan pemandu bot yang tidak faham berbahasa Inggeris dan semasa mengambil gambar, beliau mengatakan Solok Gojos pada isteri dan dalam erti kata yang sebenarnya dalam bahasa Inggeris adalah you look so gorgeous.
Apa pun bagi saya untuk jumlah bayaran menaiki bot ini mungkin terlalu rendah kerana bot ini melibatkan minyak yang sebenarnya tinggi iaitu 1 liter dalam RM5.80 di Thailand berbanding RM1.99 untuk harga RON 95 di Malaysia.
Tasik ini kalau dalam peta agak kecil tapi untuk menyusuri seluruh kawasan mungkin lebih 3 jam. Tasik ini adalah tasik air tawar yang terbesar di selatan Thailand.
Selesai di tasik kami makan di kedai halal berhampiran tapi was-was ternampak salib di telinga pekerja lalu memesan air sahaja.
Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Pak Bara. Di laluan ke sana kami singgah makan tengahari dan isi minyak.
murah dan pedas ... cuma bahasa kurang faham atau ayam itik dengan penjual tepi jalan
Kami tiba di The Memory House untuk bermalam. Tempat bermalam adalah homestay dengan 2 bilik cuma terletak di seberang jalan. Kalau sampai di Pak Bara yang terletak di tepi laut perlu satu hari penuh untuk naik dan sewa bot untuk mengeliling pulau berhampiran pantai tapi masa kami agak terhad. Pak Bara hanya persinggahan sahaja. Malamnya kami makan di kedai biasa dan esoknya sudah bergerak ke Hatyai.
Perjalanan ke Hatyai lewat sikit kerana hari bekerja. Pukul 10.30 pagi baru kami bergerak keluar dan singgah di kedai makan halal biasa lalu terus meneruskan perjalanan menuju ke bilik penginapan di Choksaman dalam perjalanan selama sejam 20 minit sejauh 78 kilometer dan 1 kilometer tidak jauh dari Lea Garden. Agak menarik di mana sepanjang 2 hari memandu, perjalanan adalah lancar seperti tiada kereta lalu di kedua-dua arah berbanding semasa mula-mula berada di sempadan Thailand.
Bilik hari ini muat lebih 10 orang dan sama rekaan masa bermalam pada tahun lepas iaitu jenis memanjang ke belakang cuma kali ini ada 2 tingkat dan semua bilik di tingkat atas. Setelah berehat selama beberapa jam kami makan di tempat biasa iaitu Khlong Buffet Seafood.
harga masih sama dan orang tetap ramai
kereta Abong
Abong dan keluarga dari Krabi singgah di tempat sama dan favorite
talapia letak garam
kalau datang memang tempat ini wajib singgah
Ramai yang tahu bahawa pekan Hatyai sudah ditimpa banjir besar pada hujung November tahun lepas. Keadaan pasti buruk dengan air naik, penyakit datang, jalan terputus dan tenggelam. Kali terakhir banjir buruk ini adalah pada 2011 tapi kali ini adalah paling teruk dan sangat teruk. Punca utama adalah seperti setiap tahun terutama hujung tahun adalah musim hujan yang membawa pada banjir. Namun kali ini hujan berterusan melebihi kapasiti paras air sungai terutama Sungai Bang Nara dan Sungai Saiburi dan selain itu pekan Hatyai dikellilingi kawasan tadahan air. Fenomena monsun menjadi banjir terburuk ini juga terjadi di Sumatera iaitu di Acheh sehingga tidak dapat dilalui.
Malam lebih pada aktiviti berehat kerana di Lea Garden ada sambutan Hari Raya Cina. Esoknya kami sudah bergerak pulang tapi singgah di Central Hatyai. Saya kali pertama masuk dalam setelah 5 kali sampai Hatyai.
Kami meneruskan perjalanan makan tengahari dan singgah di 7 Eleven Danok lalu keluar pukul 1.20 petang. Sekitar 6.30 petang kami solat dan makan malam di Warung Telaga Kota Lama Kiri di Kuala Kangsar sebelum tiba di rumah pukul 11 malam. Kami pulang pada hari pertama raya Cina dan berehat sehari dan sehari lagi adalah 1 Ramadhan iaitu hari pertama puasa.
Sekian















































0 comments:
Post a Comment